Selasa, 30 Disember 2008

Orang Asli & Siamang


Buah pulasan dan rambutan di kebun saya mula mekar. Dalam seminggu dua lagi bolehlah petik. Tapi dalam pada itu beruk-beruk dah mula meninjau-ninjau. Maklumlah kebun di dalam hutan, jauh dari kampung dan orang ramai.

Di atas nasihat Atan, seorang kawan baik saya di kampung itu, dia tolong dapatkan khidmat Orang Asli untuk menjaga kebun itu.

Saya dan isteri mula terasa lega apabila Yoke Kong dang anaknya datang duduk di kebun itu. Sekurang-kurangnya buah-buahan itu akan selamat daripada serangan beruk-beruk yang sebesar kanak-kanak berusia 5 tahun.

Tetapi dua kemudian saya dan isteri datang ke kebun, kedua Orang Asli dah hilang. Saya call Atan bagitahu Orang Asli dah tak ada di kebun. Katanya mungkin mereka masuk ke hutan. Kalau mereka masuk ke hutan, takkan beg baju pun dibawa sama.

Atan bergegas datang apabila dengar saya dah mula marah-marah. Apa tidaknya, sebulan gaji saya dah advancekan, tapi kerja dua hari dah cabut lari. Beruk-beruk pula dah semakin berkeliaran dekat kawasan situ.

Atan minta saya tunggu sekejap sementara dia pergi ke kampung Yoke Kong. Dalam pada menunggu itu, saya dan isteri dah mula ketakutan apabila beruk-beruk dah semakin ramai hendak masuk ke kebun. Nasib baik saya ada beberapa biji mercun bola.

Dah hampir setengah hari pergi, Atan muncul balik bersama tiga Orang Asli lain pula. Dia kenalkan pada kami Yoke Red dan Yoke Pang dengan anaknya, bernama Guruh.

Saya tegur Atan, kenapa ambil sampai 3 orang kerana saya sanggup bayar gaji untuk 2 orang aje. Katanya, Guruh anak Yoke Pang tak payah bayar gaji, bagi makan saja dah cukup. Kalau gitu okaylah.

Selang seminggu saya datang balik ke kebun. Beruk-beruk dah mula menjauhkan diri dari kebun kerana takut kena sumpit oleh Yoke Pang dan Yoke Red.

Isteri saya bukan main seronok lagi kerana nampaknya tahun ni bolehlah merasa buah-buah pulasan yang semakin ranum itu. Tapi kalau tak ada orang jaga kebun tu selamatlah buah-buah tu jadi hidangan beruk-beruk yang kebuluran itu.

Buah-buah pulasan di kebun kami itu pula isinya manis dan buahnya sebesar cawan sebiji. Kami dikira bernasib baik beli kebun yang sudah mula mengeluarkan buah. Durian-durian kami kira berisi baik semuanya.

Yoke Pang ceritakan pada saya kenapa Yoke Kong lari tinggalkan kebun itu dulu. Rupa-rupanya pada malam kedua dia di situ, dia ternampak siamang besar dekat bahagian atas bukit kebun itu. Malam itu kedua mereka cabut lari tinggalkan kebun itu.

Rupa-rupanya mengikut cerita, Orang-Orang Asli memang takut pada siamang. Saya masih belum dapat kesahihah cerita itu, tapi saya sedang usahakan untuk pada Tok Batin bila ada kesempatan nanti.

Ahad, 9 November 2008

Kenangan Di Bangkok

Ketika adik saya melawat kotaraya Bangkok baru-baru ini, dia sempat membuat lawatan di sebuah istana raja di sana.

Dalam pada itu, dia terjumpa seorang wanita tua yang sungguh mencuit hatinya. Lalu dia minta untuk bergambar dengan wanita itu.


Posted by Picasa

Jumaat, 24 Oktober 2008

Tasik Banding




Kita semua sedia maklum bahawa Tasik Banding di Grik, Perak adalah merupakan sebuah tasik buatan manusia. Suatu ketika dulu kawasan itu adalah hutan tebal. Setelah dijadikan sebagai sebuah tasik untuk ampangan hydro, hutan di situ habis tenggelam.

Kini Tasik Banding ramai dikunjungi oleh pelawat-pelawat dalam meninjau keindahan alam sekitar. Tidak kurang kaki-kaki pancing yang mencuba nasib di tasik itu yang banyak terdapat ikan-ikan toman, sebarau, kelah dan lain-lain lagi.

Sebenarnya pengalaman saya memancing di situ agak seram juga di situ. Tambahan pula tidur secara ala-kadar di salah sebuah pulau yang banyak terdapat di situ, terasa benar seramnya.

Isnin, 8 September 2008

Illustrasi Kereta




Kebolehan dalam seni lukis itu adalah anugerah yang paling tinggi untuk seseorang memiliknya. Ini kerana bukan ramai yang dapat melukis dengan baik dan mampu mencipta nama dalam arena seni lukis.

Di sini kita tidak payahlah sebutkan nama-nama lain. Seorang pelukis yang amat saya kagumi dengan hasil lukisannya terutama gambar-gambar kereta dan motosikal ialah saudara Zainal Buang Hussein.

Kemahiran seni lukis yang ada padanya dan minat beliau yang mendalam pada kereta/motor membuatkan hasil karyanya tentang kereta/motor sungguh hidup.

Bukan semua pelukis boleh melukiskan gambar kereta atau motosikal. Tetapi Zainal Buang Hussein berjaya melakukannya berdasarkan minatnya pada dunia kereta/motor.

Selasa, 2 September 2008

Cendawan Susu Rimau



Cendawan susu rimau? Ada ke? Mana nak dapat? Ada..., tapi mahal harganya. Cendawan jenis ini dipercayai mampu menyembuh segala jenis penyakit.

Bagi mereka yang ada penyakit dalaman, rebus cendawan itu dan minum itu selama 7 hari. Insya-Allah akan sembuhlah penyakit itu.

Selain itu juga, cendawan susu rimau ini boleh dijadikan ubat sapu untuk sakit bisul dan luka-luka badan. Paru cendawan itu dan ambil airnya lalu sapukan pada tempat bisul itu. Insya-Allah akan sembuhlah ia.

Tetapi cendawan jenis ini memang susah nak dapat. Orang Asli pun tak mahu jualnya. Sekuntum cendawan yang selebar tapak tangan dijual antara RM1,000 hingga RM2,000 sekuntum.

Bebarkah cendawan jenis ini berkhasiat tinggi?

Jumaat, 29 Ogos 2008

Bigfoot vs Siamang


Bigfoot vs Siamang atau dalam bahasa kita bigfoot lawan siamang. Siapa menang dan siapa kalah?

Rasanya tiada yang menang dan tiada yang kalah. Fahaman aku, orang putih panggil bigfoot dan orang Melayu kita panggil siamang. Maafkan aku kalau salah. Tapi sejak bergaul dengan Orang Asli...(makan pinggan lain-lain dan tidur bantal lain-lain), kata mereka, siamang itu adalah bigfoot.

Katanya Orang Asli takut dengan siamang (masih dalam kajian aku kenapa mereka takut pada siamang). Siamang ini katanya lagi adalah mahkluk dua alam. Kalau dia nak tonjolkan dirinya, nampaklah kita. Kalau tidak dia sahaja yang hanya nampak kita.

Hakikatnya mungkin itulah sebab Orang Asli takut pada siamang. Kira macam hantu jugalah nampaknya.

Apabila dihebohkan berita bahawa ada orang terjumpa bigfoot di hutan Endau/Rompin, maka berdedailah wartawan dalam dan luar negeri tertumpu ke sana. Termasuklah dari National Geography dan Discovery Channel. Tapi apa yang mereka jumpa?

Kalau ada pun kesannya, hanyalah bulu badannya yang tersangkut kat ranting pokok. Itu aje...!

Mengikut cerita orang tua kita, siamang ni hidungnya terbalik mendongak ke langit dan tapak kakinya ke belakang.

Jadi kalau turun hujan, susah juga dia nak cari daun keladi untuk menutup lubang hidungnya. Dan apabila kita terjumpa kesan tapak kakinya, susah juga kita nak tentukan arah sebenar perjalanannya.

P/S: apakah benar seperti gambar di atas di mana orang Amerika baru-baru ini sudah berjaya membunuh seekor 'bigfoot'?

Isnin, 25 Ogos 2008

Hantu Raya Mengamuk...


Benarkah hantu raya mengamuk dan kenapa pula dia mengamuk? Itulah pesanan Ramli Salleh, penolong pengarah filem 'Err Hantu'. Katanya kalau aku nak tengok hantu raya mengamuk, datanglah ke lokasi filem itu malam nanti.

Kata Ramli lagi, Majid Salleh, pengarah filem itu juga mahu berjumpa aku. Semamangnya kami berkawan baik, tetapi apabila member sedang sibuk mengarah filem, hubungan kami agak renggang kerana aku tak mahulah ganggu dia.

Pada mulanya aku berfikir panjang juga untuk pergi berseorangan ke lokasi filem itu di tengah malam dan jauh di kawasan kampung Batu 18, Ulu Langat. Pengalaman banyak diceritakan macam-macam benda aneh ada kat sana tu.

Dalam perjalanan keseorangan ke sana, manalah tahu kot-kot aku diganggu hantu nanti. Namun aku kuatkan juga semangat. Apa nak jadi, jadilah. Aku terus juga perjalanan ke sana berseorangan.

Aku tiba dalam hujan renyai-renyai...agak seram juga dibuatnya. Setelah dapat ruang meletak jip, aku berjalan kaki pergi ke arah lokasi penggambaran itu.

Ketibaan aku disambut mesra oleh Majid Salleh. Maklumlah kami dah lama tak berjumpa. Namun kami tak dapat nak bercakap banyak kerana Majid sibuk dengan tugasnya mengarah filem itu. Katanya dia mahukan yang terbaik dan sebolehnya dia mahu filem itu berjaya masuk ke Festival Filem Asia.

Aku sendiri masih belum dapat sinopsis dan detail filem itu. Tetapi untuk tatapan anda, aku siarkan beberapa keping gambar yang aku dapat rakamkan di belakang tabir pembikinan filem itu.

Aku harap filem 'Err Hantu' akan berjaya menarik minat ramai ke panggung wayang. Insya Allah.

Rabu, 20 Ogos 2008

Bunian halau beruk

Melihat pada tajuk di atas, tentunya agak suspen, kan! Tetapi itulah yang pernah saya alami.

Sebenarnya saya ada sebuah kebun buah-buahan di pinggir hutan. Tapi nak kata kat pinggir hutan pun, tak juga. Sebabnya untuk sampai ke situ, kita kena pandu 4WD sejauh 2km masuk laluan off-road yang agak mencabar. Jadi kesimpulannya, kebun itu kat dalam hutanlah!

"Seram"? Kalau itu soalan anda, mungkin untuk pertama kali tiba di situ, agak seram jugalah. Maklumlah, bila kebun kat dalam hutan tu...macam-macam benda pelik ada. Tapi alhamdulillah semangat saya ok. Ada juga sekali dua masa tidur kat sana dengar bunyi dan nampak benda yang pelik-pelik. Tapi buat tak reti ajelah...

Suatu petang, sedang saya dan adik lelaki membersihkan kawasan kebun, tiba-tiba sekumpulan (lebih kurang 50 ekor) beruk datang hendak serang pokok jambu madu yang sedang masak merah. Bila saya katakan beruk, ia memang betul-betul beruk. Bukan spesis kera atau monyet. Ia memang spesis beruk (baboon) yang sebesar kanak-kanak berusia 5 atau 6 tahun. Nasib baik saya ada mercun bola bersama saya masa itu. Bila saya bakar dan baling mercun itu ke arah mereka, bertempiaran beruk-beruk itu lari.

Nak jadikan cerita, adik saya terkekeh-kekeh ketawa kepada beruk-beruk yang terkejut bunyi mercun dan lari untuk menyelamatkan diri. Adik saya ni, nak katakan budak tu...taklah. Sebab dia sendiri pernah jadi askar dulu...jadi kira dah dewasalah tu...!

Lantas saya sergah dan marahkan dia. Saya tegur dia, mulut jangan celupar lain kali. Tiba-tiba tak semena-mena, beruk-beruk itu datang dari tiga penjuru kawasan kebun itu ke arah kami. Saya dan adik saya terpaksa lari ke pondok (pondok konkrit) untuk menyelamatkan diri kami.

Dalam pada kami berlari ke pondok dan beruk-beruk itu dengan gah menggoncangkan dahan pokok-pokok hutan dari arah 3 penjuru, tiba-tiba kami dengar suara 'satu kampung' orang-orang kampung menghalau beruk-beruk itu.

Bila saya kata 'satu kampung', memang ramai. Suara yang kami dengar itu, tak kurang dari 50 atau 60 orang bunyinya. Ada suara lelaki dewasa...suara perempuan...dan juga suara kanak-kanak.

Kami berhenti dan tak jadi masuk ke pondok apabila melihat beruk-beruk itu ketakutan dan sekali lagi bertempiaran lari. Saya dan adik berpandangan sesama sendiri. Dalam hati saya pula bertanya, "dari mana pula ramai sangat orang-orang kampung datang ni"?

Apabila semuanya dah reda, kami pergi ke arah jalan di bawah kaki bukit untuk melihat 'orang kampung' ni. Semuanya sunyi...senyap...tak ada satu bayang orang pun berjalan kat situ.

Sekali lagi saya dan adik berpandangan sesama sendiri. Hati saya berdetik, "sapa mereka tadi"?

Sabtu, 2 Ogos 2008

Khasiat Tempinis.

Pernah tengok pokok tempinis? Saya rasa tentu ramai yang tidak pernah tahu tentang pokok tempinis. Apatah lagi menengok pokok tersebut. Kalau orang kampung ramai yang tidak pernah tahu atau nengok poko tempinis, saya rasa orang bandar lagilah. Kat bandar mana ada pokok tempinis.
Sebenarnya saya sendiripun baru tahu tentang pokok tempinis. Sebelum itu saya dah biasa nengok pokok ni, tapi tak tahu pula itu menrupakan pokok tempinis dan jauh sekali untuk mengetahui tentang khasiatnya.
Suatu petang, di pinggir hutan, saya terserempak dengan seorang penunggang motosikal yang membawa selonggok besar daun-daun di atas para belakang motosikalnya.
Perasaan ingin tahu saya terus bertanya "daun apa tu"?
Katanya, "daun tempinis".
"Nak buat apa?" tanya saya lagi.
"Bagi makan kambing", katanya.
"Bagi makan kambing?" soal saya lagi kehairanan. "Kambing makan daun hutan?"
"Daun nilah bagus untuk kambing. Kalau kambing hitam makan daun ni, bulunya akan berkilat macam kita sapu dengan minyak kelapa", terang lelaki itu lagi.
"Mananya kambing sihatlah bila makan daun ni?", spontan saya bertanya.
"Memanglah...", sengih lelaki itu.
Kesimpulannya, saya mula berfikir bolehkah pokok tempinis ditanam secara komersial? Sekarang ni terdapat ramai penternak kambing di negara kita, kalau dibekalkan daun tempinis kepada mereka, mungkin ternakkan mereka akan cepat membiak dan pendapatan mereka tentulah akan berlipat kali ganda.
Kita renung-renungkanlah...
Tapi yang nyatanya batang tempinis ini memang keras. Maka pokok tempinis yang besar-besar terus menjadi mangsa pembalak haram. Kayu tempinis katanya tinggi harganya.
Saya akan siarkan gambar pokok tempinis nanti.