Jumaat, 29 Ogos 2008

Bigfoot vs Siamang


Bigfoot vs Siamang atau dalam bahasa kita bigfoot lawan siamang. Siapa menang dan siapa kalah?

Rasanya tiada yang menang dan tiada yang kalah. Fahaman aku, orang putih panggil bigfoot dan orang Melayu kita panggil siamang. Maafkan aku kalau salah. Tapi sejak bergaul dengan Orang Asli...(makan pinggan lain-lain dan tidur bantal lain-lain), kata mereka, siamang itu adalah bigfoot.

Katanya Orang Asli takut dengan siamang (masih dalam kajian aku kenapa mereka takut pada siamang). Siamang ini katanya lagi adalah mahkluk dua alam. Kalau dia nak tonjolkan dirinya, nampaklah kita. Kalau tidak dia sahaja yang hanya nampak kita.

Hakikatnya mungkin itulah sebab Orang Asli takut pada siamang. Kira macam hantu jugalah nampaknya.

Apabila dihebohkan berita bahawa ada orang terjumpa bigfoot di hutan Endau/Rompin, maka berdedailah wartawan dalam dan luar negeri tertumpu ke sana. Termasuklah dari National Geography dan Discovery Channel. Tapi apa yang mereka jumpa?

Kalau ada pun kesannya, hanyalah bulu badannya yang tersangkut kat ranting pokok. Itu aje...!

Mengikut cerita orang tua kita, siamang ni hidungnya terbalik mendongak ke langit dan tapak kakinya ke belakang.

Jadi kalau turun hujan, susah juga dia nak cari daun keladi untuk menutup lubang hidungnya. Dan apabila kita terjumpa kesan tapak kakinya, susah juga kita nak tentukan arah sebenar perjalanannya.

P/S: apakah benar seperti gambar di atas di mana orang Amerika baru-baru ini sudah berjaya membunuh seekor 'bigfoot'?

Isnin, 25 Ogos 2008

Hantu Raya Mengamuk...


Benarkah hantu raya mengamuk dan kenapa pula dia mengamuk? Itulah pesanan Ramli Salleh, penolong pengarah filem 'Err Hantu'. Katanya kalau aku nak tengok hantu raya mengamuk, datanglah ke lokasi filem itu malam nanti.

Kata Ramli lagi, Majid Salleh, pengarah filem itu juga mahu berjumpa aku. Semamangnya kami berkawan baik, tetapi apabila member sedang sibuk mengarah filem, hubungan kami agak renggang kerana aku tak mahulah ganggu dia.

Pada mulanya aku berfikir panjang juga untuk pergi berseorangan ke lokasi filem itu di tengah malam dan jauh di kawasan kampung Batu 18, Ulu Langat. Pengalaman banyak diceritakan macam-macam benda aneh ada kat sana tu.

Dalam perjalanan keseorangan ke sana, manalah tahu kot-kot aku diganggu hantu nanti. Namun aku kuatkan juga semangat. Apa nak jadi, jadilah. Aku terus juga perjalanan ke sana berseorangan.

Aku tiba dalam hujan renyai-renyai...agak seram juga dibuatnya. Setelah dapat ruang meletak jip, aku berjalan kaki pergi ke arah lokasi penggambaran itu.

Ketibaan aku disambut mesra oleh Majid Salleh. Maklumlah kami dah lama tak berjumpa. Namun kami tak dapat nak bercakap banyak kerana Majid sibuk dengan tugasnya mengarah filem itu. Katanya dia mahukan yang terbaik dan sebolehnya dia mahu filem itu berjaya masuk ke Festival Filem Asia.

Aku sendiri masih belum dapat sinopsis dan detail filem itu. Tetapi untuk tatapan anda, aku siarkan beberapa keping gambar yang aku dapat rakamkan di belakang tabir pembikinan filem itu.

Aku harap filem 'Err Hantu' akan berjaya menarik minat ramai ke panggung wayang. Insya Allah.