Selasa, 22 Jun 2010

Kem Motivasi






Maaf kerana dah lama benar aku tak masuk ke blog ini. Pertama kerana terlalu sibuk dengan pelbagai tugasan termasuklah berblogging dengan blog lain. Kedua kerana aku hilang password masuk ke blog ini.

Sekarang dah dapat balik password, aku akan mula aktifkan blog serancaknya. Tambahan pula Gapis Camp akan dijadi kem motivasi dalam masa terdekat ini. Maka banyaklah bahan-bahan yang akan dipaparkan melalui blog ini.

Pada minggu lalu pun dah dua kali aku ke Gapis Camp untuk membersihkan kawasan. Adalah seorang dua kawan datang membantu. Tapi bila kawasan yang semak teruk, memang agak teruk juga kerja-kerja yang terpaksa kami lakukan. Tapi seronok.

Isnin, 5 Januari 2009

Warung Dalam Hutan

Seronok tak kalau camping kat dalam hutan siap ada warung. Teh tarik ada...roti bakar ada...nasi lemak ada...rasanyer seronok, kan?


Sebenarnya kalau anda tengok sketch plan tu...asalnya dirancangkan sebagai Warung Pak Itam untuk filem JIBAM.

Pada asalnya filem itu nak shoot di kawasan dekat Tasik Kenyir dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu.

Aku yang dilantik sebagai Executive Producer terpaksalah berulang-alik ke Terengganu dalam menghadap Menteri Besar dan Exco-exco bahagian kebudayaan, pelancongan dan macam-macam lagi. Memang kerajaan negeri Terengganu suka sangat dengan cadangan itu.

Mereka bukan sekadar memberi apa saja kemudahan kepada kami dalam menerbitkan filem itu, bahkan mereka sanggup mengeluarkan belanja untuk mengadakan satu pelancaran filem bersama artis-artis secara besar-besaran. Itu dah kira seribu rahmat untuk kami.

Tetapi alih-alih...si-pengarahnya pula masih merasakan apa yang kami dapat daripada kerajaan negeri Terengganu tidak setimpal dengan promosi kami terhadap negeri itu.
Maka dia banyak membatu-api produser supaya minta lebih daripada kerajaan negeri. Sekiranya tidak, pindahkan lokasi ke tempat lain.

Apa yang si-pengarah suruh si-produser minta supaya kerajaan negeri keluarkan belanja sebanyak 1/2 juta ringgit sebagai peruntukkan pengiklanan dan promosi filem itu.

Aku lagi terpaksa menghadap Menteri Besar memohonkan kehendakan mereka itu. Dalam maklum balas, pihak kerajaan negeri akan pertimbangkannya tetapi dengan syarat kita lakukan pengambaran dulu. Senang kata, biar selesai shooting dulu.

Tetapi nampaknya produser sudah terpengaruh dengan pengarah. Ketika aku sedang menguruskan pekerja membersih tapak lokasi di Tasik Kenyir, aku dipanggil balik ke Kuala Lumpur kerana mesyuarat tergempar.

Maka bermesyuaratlah kami. Selepas mesyuarat, kata putus dibuat bahawa lokasi di Terengganu dibatalkan.

Aku juga sekali lagi terpaksa menghadap pihak Menteri Besar menyampaikan suara produser dan pengarah filem itu. Punyalah tebal muka aku tak tahu rasanya mana nak letak.

Nasib baik aku tak ditebas dengan parang oleh pekerja-pekerja yang sudah pun memulakan tugas mereka membersih kawasan lokasi. Selisih mailakat 44.

Lokasi kedua yang dipilih sebulat suara oleh si-pengarah, si-produser dan apa-apa si lagi...kawasan kebun aku yang terletak di dalam hutan di Ulu Slim dipersetujui. Itu adalah keputusan muktamad. Itu adalah kata putus produser dan disokong 100% oleh pengarah dan kuncu-kuncunya.

Maka kami pun rancanglah apa yang patut untuk dibina setnya. Antaranya ialah rumah Jibam, rumah Tok Ngah Sudin, rumah Usin Singai dan termasuklah warung Pak Hitam.

Aku segera menjalankan tugas yang diperintah dengan meminta Orang-Orang Asli di kawasan berdekatan menyediakan segala peralatan yang diperlukan. Orang Asli punyalah seronok...terus melaksanakan tugas walaupun tanpa apa-apa bayaran pendahuluan. Lagipun sebab mereka hormatkan aku.

Tup..tup naik giler aku apabila keluar kat suratkhabar mengatakan lokasi Jibam dipindahkan ke Semenyih. Alasan produser tempat itu jauh ke dalam hutan sukar bagi lori membawa masuk equipment pengambaran.

Tetapi...memang ada tetapi...!! Kenapa sebanyak dua kali si-pengarah dengan assistant dan krew-krewnya pergi meninjau dulu, semuanya suka tempat itu. Bahkan disahkan sebagai yang paling ideal untuk filem itu.

Bahkan si-assistant dia boleh beriya-iya mengatakan si-Bade boleh nangis sebab lokasi filem Bilut tidak secantik lokasi Jibam.

Isteri si-pengarah pula balik ke rumah boleh termimpi-mimpi kawasan kebun yang cantik itu.

Akhirnya filem Jibam jadi lebam. Terus diam dan senyap sunyi tanpa apa-apa berita. Duit skrip aku pun masih belum langsai lagi, sedangkan copyright Jibam sebanyak RM40,000.00 boleh dibayar kepada penerbit buku itu.

Apa-apa pun kita biarkan mereka. Sekarang sketch plan warung Pak Itam itu akan tetap tegap juga sebagai bangunan warung itu, tetapi kita akan gunakan sebagai Warung Gapis Camp pula.

Selasa, 30 Disember 2008

Orang Asli & Siamang


Buah pulasan dan rambutan di kebun saya mula mekar. Dalam seminggu dua lagi bolehlah petik. Tapi dalam pada itu beruk-beruk dah mula meninjau-ninjau. Maklumlah kebun di dalam hutan, jauh dari kampung dan orang ramai.

Di atas nasihat Atan, seorang kawan baik saya di kampung itu, dia tolong dapatkan khidmat Orang Asli untuk menjaga kebun itu.

Saya dan isteri mula terasa lega apabila Yoke Kong dang anaknya datang duduk di kebun itu. Sekurang-kurangnya buah-buahan itu akan selamat daripada serangan beruk-beruk yang sebesar kanak-kanak berusia 5 tahun.

Tetapi dua kemudian saya dan isteri datang ke kebun, kedua Orang Asli dah hilang. Saya call Atan bagitahu Orang Asli dah tak ada di kebun. Katanya mungkin mereka masuk ke hutan. Kalau mereka masuk ke hutan, takkan beg baju pun dibawa sama.

Atan bergegas datang apabila dengar saya dah mula marah-marah. Apa tidaknya, sebulan gaji saya dah advancekan, tapi kerja dua hari dah cabut lari. Beruk-beruk pula dah semakin berkeliaran dekat kawasan situ.

Atan minta saya tunggu sekejap sementara dia pergi ke kampung Yoke Kong. Dalam pada menunggu itu, saya dan isteri dah mula ketakutan apabila beruk-beruk dah semakin ramai hendak masuk ke kebun. Nasib baik saya ada beberapa biji mercun bola.

Dah hampir setengah hari pergi, Atan muncul balik bersama tiga Orang Asli lain pula. Dia kenalkan pada kami Yoke Red dan Yoke Pang dengan anaknya, bernama Guruh.

Saya tegur Atan, kenapa ambil sampai 3 orang kerana saya sanggup bayar gaji untuk 2 orang aje. Katanya, Guruh anak Yoke Pang tak payah bayar gaji, bagi makan saja dah cukup. Kalau gitu okaylah.

Selang seminggu saya datang balik ke kebun. Beruk-beruk dah mula menjauhkan diri dari kebun kerana takut kena sumpit oleh Yoke Pang dan Yoke Red.

Isteri saya bukan main seronok lagi kerana nampaknya tahun ni bolehlah merasa buah-buah pulasan yang semakin ranum itu. Tapi kalau tak ada orang jaga kebun tu selamatlah buah-buah tu jadi hidangan beruk-beruk yang kebuluran itu.

Buah-buah pulasan di kebun kami itu pula isinya manis dan buahnya sebesar cawan sebiji. Kami dikira bernasib baik beli kebun yang sudah mula mengeluarkan buah. Durian-durian kami kira berisi baik semuanya.

Yoke Pang ceritakan pada saya kenapa Yoke Kong lari tinggalkan kebun itu dulu. Rupa-rupanya pada malam kedua dia di situ, dia ternampak siamang besar dekat bahagian atas bukit kebun itu. Malam itu kedua mereka cabut lari tinggalkan kebun itu.

Rupa-rupanya mengikut cerita, Orang-Orang Asli memang takut pada siamang. Saya masih belum dapat kesahihah cerita itu, tapi saya sedang usahakan untuk pada Tok Batin bila ada kesempatan nanti.

Ahad, 9 November 2008

Kenangan Di Bangkok

Ketika adik saya melawat kotaraya Bangkok baru-baru ini, dia sempat membuat lawatan di sebuah istana raja di sana.

Dalam pada itu, dia terjumpa seorang wanita tua yang sungguh mencuit hatinya. Lalu dia minta untuk bergambar dengan wanita itu.


Posted by Picasa

Jumaat, 24 Oktober 2008

Tasik Banding




Kita semua sedia maklum bahawa Tasik Banding di Grik, Perak adalah merupakan sebuah tasik buatan manusia. Suatu ketika dulu kawasan itu adalah hutan tebal. Setelah dijadikan sebagai sebuah tasik untuk ampangan hydro, hutan di situ habis tenggelam.

Kini Tasik Banding ramai dikunjungi oleh pelawat-pelawat dalam meninjau keindahan alam sekitar. Tidak kurang kaki-kaki pancing yang mencuba nasib di tasik itu yang banyak terdapat ikan-ikan toman, sebarau, kelah dan lain-lain lagi.

Sebenarnya pengalaman saya memancing di situ agak seram juga di situ. Tambahan pula tidur secara ala-kadar di salah sebuah pulau yang banyak terdapat di situ, terasa benar seramnya.

Isnin, 8 September 2008

Illustrasi Kereta




Kebolehan dalam seni lukis itu adalah anugerah yang paling tinggi untuk seseorang memiliknya. Ini kerana bukan ramai yang dapat melukis dengan baik dan mampu mencipta nama dalam arena seni lukis.

Di sini kita tidak payahlah sebutkan nama-nama lain. Seorang pelukis yang amat saya kagumi dengan hasil lukisannya terutama gambar-gambar kereta dan motosikal ialah saudara Zainal Buang Hussein.

Kemahiran seni lukis yang ada padanya dan minat beliau yang mendalam pada kereta/motor membuatkan hasil karyanya tentang kereta/motor sungguh hidup.

Bukan semua pelukis boleh melukiskan gambar kereta atau motosikal. Tetapi Zainal Buang Hussein berjaya melakukannya berdasarkan minatnya pada dunia kereta/motor.

Selasa, 2 September 2008

Cendawan Susu Rimau



Cendawan susu rimau? Ada ke? Mana nak dapat? Ada..., tapi mahal harganya. Cendawan jenis ini dipercayai mampu menyembuh segala jenis penyakit.

Bagi mereka yang ada penyakit dalaman, rebus cendawan itu dan minum itu selama 7 hari. Insya-Allah akan sembuhlah penyakit itu.

Selain itu juga, cendawan susu rimau ini boleh dijadikan ubat sapu untuk sakit bisul dan luka-luka badan. Paru cendawan itu dan ambil airnya lalu sapukan pada tempat bisul itu. Insya-Allah akan sembuhlah ia.

Tetapi cendawan jenis ini memang susah nak dapat. Orang Asli pun tak mahu jualnya. Sekuntum cendawan yang selebar tapak tangan dijual antara RM1,000 hingga RM2,000 sekuntum.

Bebarkah cendawan jenis ini berkhasiat tinggi?