Selasa, 30 Disember 2008

Orang Asli & Siamang


Buah pulasan dan rambutan di kebun saya mula mekar. Dalam seminggu dua lagi bolehlah petik. Tapi dalam pada itu beruk-beruk dah mula meninjau-ninjau. Maklumlah kebun di dalam hutan, jauh dari kampung dan orang ramai.

Di atas nasihat Atan, seorang kawan baik saya di kampung itu, dia tolong dapatkan khidmat Orang Asli untuk menjaga kebun itu.

Saya dan isteri mula terasa lega apabila Yoke Kong dang anaknya datang duduk di kebun itu. Sekurang-kurangnya buah-buahan itu akan selamat daripada serangan beruk-beruk yang sebesar kanak-kanak berusia 5 tahun.

Tetapi dua kemudian saya dan isteri datang ke kebun, kedua Orang Asli dah hilang. Saya call Atan bagitahu Orang Asli dah tak ada di kebun. Katanya mungkin mereka masuk ke hutan. Kalau mereka masuk ke hutan, takkan beg baju pun dibawa sama.

Atan bergegas datang apabila dengar saya dah mula marah-marah. Apa tidaknya, sebulan gaji saya dah advancekan, tapi kerja dua hari dah cabut lari. Beruk-beruk pula dah semakin berkeliaran dekat kawasan situ.

Atan minta saya tunggu sekejap sementara dia pergi ke kampung Yoke Kong. Dalam pada menunggu itu, saya dan isteri dah mula ketakutan apabila beruk-beruk dah semakin ramai hendak masuk ke kebun. Nasib baik saya ada beberapa biji mercun bola.

Dah hampir setengah hari pergi, Atan muncul balik bersama tiga Orang Asli lain pula. Dia kenalkan pada kami Yoke Red dan Yoke Pang dengan anaknya, bernama Guruh.

Saya tegur Atan, kenapa ambil sampai 3 orang kerana saya sanggup bayar gaji untuk 2 orang aje. Katanya, Guruh anak Yoke Pang tak payah bayar gaji, bagi makan saja dah cukup. Kalau gitu okaylah.

Selang seminggu saya datang balik ke kebun. Beruk-beruk dah mula menjauhkan diri dari kebun kerana takut kena sumpit oleh Yoke Pang dan Yoke Red.

Isteri saya bukan main seronok lagi kerana nampaknya tahun ni bolehlah merasa buah-buah pulasan yang semakin ranum itu. Tapi kalau tak ada orang jaga kebun tu selamatlah buah-buah tu jadi hidangan beruk-beruk yang kebuluran itu.

Buah-buah pulasan di kebun kami itu pula isinya manis dan buahnya sebesar cawan sebiji. Kami dikira bernasib baik beli kebun yang sudah mula mengeluarkan buah. Durian-durian kami kira berisi baik semuanya.

Yoke Pang ceritakan pada saya kenapa Yoke Kong lari tinggalkan kebun itu dulu. Rupa-rupanya pada malam kedua dia di situ, dia ternampak siamang besar dekat bahagian atas bukit kebun itu. Malam itu kedua mereka cabut lari tinggalkan kebun itu.

Rupa-rupanya mengikut cerita, Orang-Orang Asli memang takut pada siamang. Saya masih belum dapat kesahihah cerita itu, tapi saya sedang usahakan untuk pada Tok Batin bila ada kesempatan nanti.

Tiada ulasan: