Rabu, 20 Ogos 2008

Bunian halau beruk

Melihat pada tajuk di atas, tentunya agak suspen, kan! Tetapi itulah yang pernah saya alami.

Sebenarnya saya ada sebuah kebun buah-buahan di pinggir hutan. Tapi nak kata kat pinggir hutan pun, tak juga. Sebabnya untuk sampai ke situ, kita kena pandu 4WD sejauh 2km masuk laluan off-road yang agak mencabar. Jadi kesimpulannya, kebun itu kat dalam hutanlah!

"Seram"? Kalau itu soalan anda, mungkin untuk pertama kali tiba di situ, agak seram jugalah. Maklumlah, bila kebun kat dalam hutan tu...macam-macam benda pelik ada. Tapi alhamdulillah semangat saya ok. Ada juga sekali dua masa tidur kat sana dengar bunyi dan nampak benda yang pelik-pelik. Tapi buat tak reti ajelah...

Suatu petang, sedang saya dan adik lelaki membersihkan kawasan kebun, tiba-tiba sekumpulan (lebih kurang 50 ekor) beruk datang hendak serang pokok jambu madu yang sedang masak merah. Bila saya katakan beruk, ia memang betul-betul beruk. Bukan spesis kera atau monyet. Ia memang spesis beruk (baboon) yang sebesar kanak-kanak berusia 5 atau 6 tahun. Nasib baik saya ada mercun bola bersama saya masa itu. Bila saya bakar dan baling mercun itu ke arah mereka, bertempiaran beruk-beruk itu lari.

Nak jadikan cerita, adik saya terkekeh-kekeh ketawa kepada beruk-beruk yang terkejut bunyi mercun dan lari untuk menyelamatkan diri. Adik saya ni, nak katakan budak tu...taklah. Sebab dia sendiri pernah jadi askar dulu...jadi kira dah dewasalah tu...!

Lantas saya sergah dan marahkan dia. Saya tegur dia, mulut jangan celupar lain kali. Tiba-tiba tak semena-mena, beruk-beruk itu datang dari tiga penjuru kawasan kebun itu ke arah kami. Saya dan adik saya terpaksa lari ke pondok (pondok konkrit) untuk menyelamatkan diri kami.

Dalam pada kami berlari ke pondok dan beruk-beruk itu dengan gah menggoncangkan dahan pokok-pokok hutan dari arah 3 penjuru, tiba-tiba kami dengar suara 'satu kampung' orang-orang kampung menghalau beruk-beruk itu.

Bila saya kata 'satu kampung', memang ramai. Suara yang kami dengar itu, tak kurang dari 50 atau 60 orang bunyinya. Ada suara lelaki dewasa...suara perempuan...dan juga suara kanak-kanak.

Kami berhenti dan tak jadi masuk ke pondok apabila melihat beruk-beruk itu ketakutan dan sekali lagi bertempiaran lari. Saya dan adik berpandangan sesama sendiri. Dalam hati saya pula bertanya, "dari mana pula ramai sangat orang-orang kampung datang ni"?

Apabila semuanya dah reda, kami pergi ke arah jalan di bawah kaki bukit untuk melihat 'orang kampung' ni. Semuanya sunyi...senyap...tak ada satu bayang orang pun berjalan kat situ.

Sekali lagi saya dan adik berpandangan sesama sendiri. Hati saya berdetik, "sapa mereka tadi"?

Tiada ulasan: